TEKAD BANTERAS RASUAH, BARISAN EXCO PEKEMA LAKUKAN KUNJUNGAN HORMAT KE SPRM
Putrajaya, 24 Januari 2023 – Persatuan Peniaga dan Pengimpot Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menunjukkan tekadnya dalam membanteras rasuah dengan melaksanakan kunjungan hormat julung kali ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam pertemuan yang berlangsung selama satu jam di Ibu Pejabat SPRM itu, Presiden PEKEMA, Datuk Hj Mohamed Nazari Noordin dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki, memberi fokus kepada inisiatif dan kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan oleh kedua-dua pihak dalam membanteras gejala rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
Tan Sri Dato’ Sri Azam menyatakan keterbukaan SPRM untuk menjalin kerjasama erat dengan PEKEMA demi meningkatkan keberkesanan langkah-langkah pencegahan rasuah di Malaysia.
Eksplorasi peluang kerjasama dalam mendidik syarikat ahli tentang gejala rasuah dan usaha pencegahan ini, diharapkan dapat diperkuat melalui pertukaran pengetahuan dan program-program mendatang, termasuk forum berkaitan isu-isu rasuah dan penerangan tentang Akta-Akta SPRM.
Sementara itu, Datuk Hj Mohamed Nazari mengungkapkan penghargaan kepada SPRM atas inisiatif kerjasama yang dapat memperkukuhkan hubungan antara PEKEMA dan SPRM.
Salah satu usulan yang dibicarakan adalah penyelenggaraan program khusus mengenai Akta Rasuah dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram bagi syarikat ahli PEKEMA bertujuan memberikan pemahaman mendalam kepada anggota PEKEMA tentang prosedur penyiasatan yang dilakukan oleh SPRM dalam sesuatu kes.
Kunjungan ini dianggap sebagai langkah awal dalam membangun sinergi antara sektor swasta dan agensi pencegahan rasuah, dengan harapan mencapai tujuan bersama untuk mewujudkan masyarakat bebas dari gejala rasuah di Malaysia.
Menerusi kunjungan hormat ini, Datuk Nazari turut diiringi oleh Timbalan Presiden PEKEMA, Dato’ Hj Wan Sazrudeen Bin Dato’ Hj Wan Zaid; Setiausaha Kehormat PEKEMA, En. Ahmad Faresh Bin Ahmad Zahid; Bendahari Kehormat PEKEMA, Encik Ikmal Haqemi Bin Dato’ Sri Ikmal Hisham serta pihak pengurusan PEKEMA.