PEKEMA TERUSKAN CSR, KOMITED BANTU PELAJAR KURANG BERKEMAMPUAN
TELUK INTAN, 30 Januari 2023 – PERSATUAN Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) melalui Yayasan PEKEMA, meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun ini dengan menyantuni pelajar-pelajar kurang berkemampuan di empat buah sekolah di Hilir Perak.
Setiausaha Kehormat PEKEMA, Ahmad Faresh Bin Ahmad Zahid yang mewakili Presiden PEKEMA Datuk Hj Mohamed Nazari Bin Noordin, berkata bantuan itu adalah inisiatif CSR PEKEMA tahun ini kerana persatuan itu sangat peka dan komited dalam usaha meringankan bebanan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.
Persiapan persekolahan membabitkan kos yang agak tinggi lebih-lebih lagi bagi keluarga berpendapatan rendah dalam kategori B40, justeru setiap tahun PEKEMA tampil menyediakan bantuan keperluan asas persekolahan seperti pembiayaan program sekolah, pemberian beg sekolah dan juga duit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani MoU dan Simbolik Penyerahan beg sekolah, Dewan Transformasi Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan PPD Pembangunan Kemanusiaan, Mohamad Nor Ramli Ismail, Pengurus Pentadbiran dan Operasi, Faaizulaswad Hj Mohd Salleh dan Pengurus Agihan Dana Yayasan PEKEMA, Mohd Yusof Rebu,
Mengulas lanjut mengenai majlis berkenaan, kata beliau, sebanyak empat buah sekolah di Daerah Hilir Perak yang terdiri dari SK Changkat Jong, SK Selabak, SK Redang Punggor dan SK Sultan Idris II, telah menerima sumbangan beg sekolah pada hari ini.
Sementara itu, Guru Besar SK Changkat Jong, Dawam Arshad pula berkata, sekolah-sekolah di Hilir Perak menyambut baik usaha murni pihak PEKEMA menyumbangkan beg-beg sekolah bagi anak-anak murid sesi baharu nanti.
“Kawasan di kampung ini sering dilanda banjir kilat dan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada ibu bapa untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak tambahan pula dengan kekangan kewangan yang dihadapi mereka. Maka, melalui sumbangan yang diterima ini dapatlah membantu meringankan beban kepada ibu bapa dalam menyekolahkan anak pada hari ini,” ujarnya.