CYBERJAYA, 16 Disember 2024 – Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) hari ini mencatat sejarah dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Universiti Utara Malaysia (UUM). Majlis yang berlangsung di Wisma Yayasan PEKEMA itu menyaksikan kolaborasi strategik antara kedua-dua pihak dalam memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri automotif negara.
Sebagai simbol sokongan kepada usaha ini, majlis turut menyaksikan penyerahan empat replika cek kepada UUM. Tiga replika cek merupakan geran kajian penyelidikan, manakala satu lagi penyerahan cek adalah bagi membiayai Program Biasiswa Yayasan PEKEMA yang berjumlah RM32,000. Program Biasiswa Yayasan PEKEMA ini menzahirkan komitmen PEKEMA dalam menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan di bidang pendidikan tinggi di Malaysia.
MoU tersebut turut menyaksikan kehadiran YBhg Datuk Dr. Haji Megat Sany Bin Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, bersama Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Naib Canselor UUM.
Dengan adanya kerjasama ini, PEKEMA dan UUM berharap dapat mengukuhkan lagi sinergi antara dunia akademik dan industri. Kesatuan idea ini seterusnya akan menyumbang kepada kemampanan dan kemajuan ekonomi Malaysia, khususnya dalam sektor automotif yang kini dipacu oleh teknologi hijau dan mesra alam
Majlis menandatangani MOU ini menandakan permulaan usaha bersama yang akan memberikan manfaat besar kepada kedua-dua pihak dan juga kepada industri automotif negara secara keseluruhan.








