KERJASAMA PEKEMA DENGAN DFMIEC (DONGFENG MOTOR INDUSTRY IMP. & EXP. CO.)
PEKEMA, syarikat gergasi EV China bakal ubah landskap automotif negara
PERSATUAN Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) bakal mengubah landskap automotif di Malaysia dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat gergasi EV di China, Dongfeng Motor Industry Imp. & Exp. Co. Ltd. (DFMIEC).
MoU itu bertujuan mempercepat pertumbuhan industri kenderaan elektrik (EV) di rantau ini serta untuk mendorong pembangunan ekosistem EV yang kukuh, tidak hanya di Malaysia tetapi juga di seluruh Asia Tenggara.
Timbalan Presiden merangkap Pemangku Presiden PEKEMA Malaysia, Datuk Hj Mohamed Nazari Bin Noordin berkata, kerjasama antara PEKEMA dan DFMIEC yang merupakan anak syarikat kepada pengeluar kereta terkemuka di China, Dongfeng Motor Corporation (DFMC), menunjukkan kesungguhan PEKEMA dalam berkongsi dan menyelaraskan diri dengan industri automotif yang sedang berkembang.
“Kerjasama PEKEMA dengan DFMIEC, merupakan satu langkah besar dalam misi kami untuk membuka era mobiliti yang lebih mesra alam di Malaysia.
“Landskap EV di Malaysia berada di lingkungan pertumbuhan yang luar biasa, dan kerjasama ini meletakkan kami di puncak perubahan. Ini adalah satu peristiwa bersejarah untuk membentuk semula masa depan pengangkutan di tanah air,” ujarnya.
Jelas Datuk Mohamed Nazari, melalui kerjasama dengan syarikat milik negara China, PEKEMA akan memulakan satu perjalanan yang tidak hanya bakal mengubah hala tuju persatuan, tetapi juga akan memberi sumbangan yang besar ke arah masa depan elektrifikasi Malaysia.
PEKEMA dan DFMIEC akan bersatu tenaga untuk mengkaji dan mengemudi dalam landskap pasaran EV yang sentiasa berubah di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
“Kerjasama ini tidak hanya akan memperkenalkan penyelesaian pengangkutan yang inovatif dan mesra alam, tetapi juga akan memberikan dorongan kepada pertumbuhan ekonomi serta peluang pekerjaan, seiring dengan visi kerajaan Malaysia untuk masa depan yang lebih Lestari,” ujarnya.
Tambah Datuk Mohamed Nazari, pencapaian cemerlang dan pengalaman luas DFMIEC dalam industri automotif memberikan nilai tambah yang besar kepada inisiatif ini. Dengan fokus yang kukuh pada penyelidikan dan pembangunan, DFMIEC telah menunjukkan komitmen dalam penghasilan pelbagai jenis kenderaan penumpang, kenderaan komersial, kenderaan tenaga baharu, dan komponen asas.
“Selain itu, DFMIEC telah memulakan usaha yang berani untuk memperluaskan kehadiran mereka dalam pasaran EV di luar negara, terutamanya di Malaysia, di mana potensi besar untuk kenderaan elektrik pacuan kanan masih belum dimaksimumkan sepenuhnya,” jelasnya.
Melalui kerjasama strategik ini, kedua-dua PEKEMA dan DFMIEC bertekad melakukan keperluan penting seperti memperkuatkan saluran penjualan untuk EV di Malaysia dan memperluaskan ke pasaran di rantau Asia Tenggara. Selain itu, PEKEMA dan DFMIEC juga akan berkerjasama menyelidik pelaburan bersama dalam pembinaan fasiliti pemasangan dan pengeluaran kenderaan elektrik di Malaysia. Ini termasuk bekerjasama erat dengan pihak-pihak berkenaan di Malaysia untuk menyelaras proses pengimportan kenderaan dan menggalakkan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik.
Kerjasama ini juga bakal meningkatkan peranan PEKEMA dalam mempromosikan pelbagai jenama dan produk kenderaan, serta membina rangkaian perkhidmatan selepas jualan yang lengkap. Bukan itu sahaja, jalinan kerjasama ini juga bakal memulakan pelaburan bersama dalam pengeluaran dan pemasangan komponen-komponen kenderaan elektrik, sekaligus berusaha untuk mendapatkan insentif-insentif khas dari pihak kerajaan Malaysia.
Acara menandatangani MOU antara PEKEMA dan DFMIEC adalah satu peristiwa bersejarah yang sangat penting. Ia melambangkan komitmen PEKEMA kepada masa depan yang lebih bersih, lebih hijau, dan lebih mampan bagi Malaysia dan Asia Tenggara. Kerjasama ini juga menandakan perubahan besar dalam model perniagaan PEKEMA, kerana persatuan itu mula beralih dari pengimportan tradisional kepada revolusi mobiliti elektrik.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Tuan Azrul Reza Aziz, pengintegrasian teknologi EV ke dalam ekosistem automotif Malaysia adalah langkah penting menuju kelestarian alam sekitar.
“EV menawarkan alternatif yang lebih bersih dan hijau kepada kenderaan tradisional berasaskan enjin pembakaran dalam. Dengan menerima EV, kita menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan membantu Malaysia memenuhi komitmen untuk masa depan yang lebih mampan,” ujarnya.
Kata Tuan Azrul lagi, EV mewakili teknologi canggih, prestasi yang lebih unggul, dan kos operasi yang lebih rendah. Kerjasama dengan syarikat terkemuka dari China akan membawa teknologi canggih ini ke Malaysia, memastikan negara kita kekal unggul dalam arena automotif global.
“China Dongfeng Motor Industry Import & Export Co. Ltd., yang beribu pejabat di Wuhan, Hubei, merupakan pengeluar kereta berstatus kerajaan yang terkemuka dan salah satu kumpulan automobil terbesar di China. Keputusan mereka untuk berkerjasama dengan PEKEMA memberikan petanda yang kuat tentang potensi teknologi kenderaan elektrik dan kelebihannya bagi negara kita,” ujar Tuan Azrul.
Kata Tuan Azrul, kerjasama ini melambangkan komitmen kolektif PEKEMA untuk membina ekosistem automotif yang mampan, canggih dari segi teknologi, dan bersaing di peringkat global. Ia sejajar sepenuhnya dengan visi MARii untuk menggerakkan transformasi industri automotif Malaysia menjadi pemain utama di pentas dunia,” ujarnya.
Majlis yang berlangsung Wisma Yayasan PEKEMA di Cyberjaya itu membuktikan komitmen padu oleh PEKEMA dan DFMIEC dalam meningkatkan hubungan dua hala dan menyokong pertumbuhan industri kenderaan elektrik di rantau ini.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Bahagian Pemasaran PV Oversea DFMIEC, Ms Zhao Xiaojie pula berkata, model NEV RHD pertama mereka akan dilancarkan di pasaran sekitar pertengahan tahun depan.
“Hari ini, kami berkumpul di Malaysia sebagai hentian pertama bagi kerjasama model RHD. . Keputusan ini telah dipertimbangkan dengan teliti dalam konteks sokongan besar kerajaan Malaysia kepada NEV dan kesungguhan kerjasama rakan kami,” kata Ms Xiaojie.
Beliau menambah bahawa pada masa akan datang, DFMIEC akan terus berusaha untuk menyokong proses elektrifikasi Malaysia dan memberi keutamaan kepada pengeluaran tempatan di Malaysia bagi membawa lebih banyak produk EV yang lebih baik kepada negara-negara ASEAN.
Model EV pertama dengan pemanduan sebelah kanan itu dijangka tiba pertengahan tahun depan. Mereka juga akan memasang model terbabit untuk pasaran eksport di Asia Tenggara.
Model EV yang dimaksudkan ialah Nammi 01 (juga dengan kod nama S31) yang merupakan kereta elektrik kompak yang baru sahaja diperkenalkan di China. Nammi 01 menampilkan sebuah motor elektrik dengan janaan 163 hp dan dikuasai oleh bateri 157 Wh per kg. Model ini disifatkan mampu memberikan 200 km jarak dengan hanya lapan minit pengecasan.
Dari segi saiz, Nammi 01 mempunyai saiz 4,030 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,570 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,660 mm.
S31 – NAMMI