Cyberjaya, 7 Disember 2024 – Alhamdulillah, pada hari ini, 7 Disember 2024, menyaksikan kejayaan penganjuran sulung acara Go Green Charity Run PEKEMA 2024 di Wisma Yayasan PEKEMA. Acara berprestij ini dianjurkan oleh Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dengan kerjasama erat Yayasan PEKEMA.
Biarpun tidak dibuka kepada umum, kemeriahan sangat dirasai dengan penyertaan daripada ahli-ahli PEKEMA, agensi kerajaan, rakan korporat, institusi perbankan, syarikat insurans, komuniti orang kurang upaya (OKU), dan golongan asnaf.
Dalam program yang sama, Yayasan PEKEMA turut menyampaikan sumbangan kepada dua institusi pendidikan Islam iaitu Madrasah Tahfiz Miftahul Ulum di Hulu Langat dan Institut Quran Kuala Lumpur (IQKL), di samping membantu golongan asnaf yang memerlukan.
Inisiatif ini bukan sahaja platform untuk menghargai rakan strategik PEKEMA, malah menjadi langkah proaktif dalam mengukuhkan kerjasama untuk membina masa depan yang lebih hijau, inklusif, dan lestari.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan peserta. Semoga kita bertemu lagi dalam acara akan datang dengan semangat yang lebih membara!












