Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor dengan kerjasama Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) telah berjaya menganjurkan Taklimat Sistem Pembayaran Secara Dalam Talian (Online) kepada Syarikat Ahli PEKEMA pada 23 Julai 2026 bertempat di Wisma Yayasan PEKEMA.
Program ini diadakan bagi memberikan pendedahan dan meningkatkan kefahaman peserta mengenai pelaksanaan sistem pembayaran digital JKDM, khususnya penggunaan Sistem MyPayment dan WebCOR (Customs Official Receipt). Taklimat turut merangkumi penerangan berkaitan kaedah pembayaran duti dan cukai Kastam secara tanpa tunai serta fallback procedure bagi memastikan urusan pembayaran dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, selamat dan lancar.
Selain menjadi platform perkongsian ilmu dan maklumat terkini, program ini turut memperkukuh kerjasama strategik antara JKDM dan PEKEMA dalam menyokong usaha pendigitalan penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan kecekapan urusan perkastaman.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua penceramah daripada JKDM, pihak PEKEMA, urus setia serta para peserta yang telah bersama-sama menjayakan program ini. Semoga segala ilmu dan maklumat yang dikongsi dapat dimanfaatkan dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan Kastam yang lebih efisien dan berintegriti.














