
PERSATUAN Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Cawangan Sarawak dengan kerjasama SEDC Energy Sdn Bhd dengan rasminya memeterai jalinan kerjasama utuh dalam usaha membawa masuk lebih banyak kenderaan elektrik (EV) ke negeri Sarawak.
Sehubungan itu, semalam telah berlangsung dengan jayanya acara EV Adoption Event: EV-fy SARAWAK yang diadakan di Pustaka Negeri Sarawak, Kuching di sini.
Dalam acara berkenaan, PEKEMA Sarawak tampil mempamerkan beberapa buah EV yang kini telah berada dalam pasaran semasa. Antara yang dipamerkan termasuklah Tesla Model-3, MG ZS, Kia EV6, BMW iX dan BMW iX3. Tidak ketinggalan, turut dipamerkan adalah satu unit sistem pengecasan pantas AC/DC yang dibawakan khas oleh VSD Automation.
Sebuah Tesla Model-Y turut dibawa masuk ke lokasi acara sebagai simbolik penyerahan daripada PEKEMA Sarawak kepada SEDC Energy Sdn Bhd. Tesla berkenaan merupakan Tesla pertama yang diserahkan kepada SEDC Energy dan diharap selepas ini akan lebih banyak permintaan EV daripada Kerajaan Negeri Sarawak.
Hadir menyempurnakan acara berkenaan semalam ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg.
Turut hadir ialah Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Haji Abdul Aziz bin Dato Haji Husain, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Dr Abdullah Zaidel, Presiden PEKEMA Sarawak Dato Haji Ismail Abang Saufi, Pemangku Presiden PEKEMA Pusat, Datuk Muhammad Nazari Noordin dan dif-dif kenamaan lain.