Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) telah menganjurkan Taklimat Sistem Pembayaran Secara Atas Talian (Online) bagi memberi pendedahan dan pemahaman kepada syarikat ahli PEKEMA berkaitan penggunaan Sistem MyPayment untuk urusan pembayaran cukai kepada pihak JKDM LTAKL.
Sistem ini merupakan satu kemudahan perkhidmatan elektronik yang membolehkan pengguna menyediakan, mengemukakan serta membuat penyelesaian pembayaran secara dalam talian dengan lebih mudah, cepat dan efisien. Perkhidmatan ini turut memberi fleksibiliti kepada pengguna kerana sistem beroperasi melangkaui waktu perbankan, sekali gus membolehkan urusan pembayaran dilaksanakan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengarah Kastam JKDM LTAKL, YBrs. Tuan Zulkifli bin Muhammad, turut dihadiri oleh seramai 18 syarikat ahli PEKEMA, yang kesemuanya mempunyai kemudahan gudang di bawah seliaan Stesen JKDM LTAKL.
Penganjuran taklimat ini merupakan salah satu usaha berterusan PEKEMA bersama JKDM dalam memperkukuhkan kefahaman ahli-ahli PEKEMA terhadap kemudahan digital yang disediakan oleh pihak Kastam, di samping meningkatkan kecekapan serta kelancaran urusan pembayaran cukai secara elektronik.
Taklimat ini menampilkan perkongsian tentang:
✅️Pembayaran Duti / Cukai dan Lain-lain hasil menggunakan Sistem myPayment oleh Syarikat Dagang Net Technologies Sdn Bhd.
✅️SOP WebCOR (Customs Official Receipt) oleh Puan Thevi A/P Maruthiayah, Bahagian Teknologi Maklumat, JKDM Ibu Pejabat.
✅️Kaedah Pembayaran Duti / Cukai Kastam Tanpa Tunai dan Fallback Procedure Sistem MyPayment oleh Puan Intan Farhana binti Shahruddin, Cawangan Perakaunan Hasil, JKDM Ibu Pejabat
✅️Sistem Pemantauan Gudang Berlesen PEKEMA Melalui Aplikasi MyPEKEMA oleh Puan Mariah Binti Samani, Unit Inovasi JKDM LTAKL dan Tuan Muhamad Aiman Bin Mat Shukri, Seksyen Penggudangan, Cawangan Perindustrian AMC, JKDM LTAKL
Majlis ini turut menyediakan sesi soal jawab dan kaunter pendaftaran Sistem MyPayment & WebCOR.











