Yayasan PEKEMA berbesar hati menerima pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Khas Agensi Gemilang sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Anugerah tersebut telah disampaikan dalam satu majlis yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, hari ini.
Mewakili Yayasan PEKEMA, YM Raja Petra Marudin bin Raja Nordin, Naib Presiden PEKEMA, hadir menerima anugerah berkenaan. Beliau turut diiringi oleh Ir. Ts. Dr. Mohamad Syahmie bin Mohamad Rasidi, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UniMAP, dalam lawatan ke lokasi Food Bank yang ditempatkan di Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman, UniMAP. Inisiatif Food Bank tersebut merupakan antara projek strategik yang direalisasikan hasil sumbangan prihatin Yayasan PEKEMA.
Sehingga kini, sebanyak enam unit Food Bank telah diwujudkan di kolej-kolej kediaman sekitar kampus UniMAP bagi membantu meringankan beban dan memenuhi keperluan asas para pelajar. Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga kampus, malah menjadi pemangkin kepada Yayasan PEKEMA untuk terus komited dalam melaksanakan program kebajikan dan kemasyarakatan, selaras dengan semangat kesukarelawanan serta tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sentiasa menjadi teras perjuangan kami.
Yayasan PEKEMA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan UniMAP atas pengiktirafan dan kerjasama erat yang terjalin. Semoga usaha murni ini terus memberikan impak positif serta membawa keberkatan kepada seluruh warga kampus.








