SUBANG JAYA, 21 JANUARI 2026– Yayasan PEKEMA meneruskan komitmen kebajikan menerusi Program Bantuan Persiapan Menjelang Syawal Yayasan PEKEMA 2026, sebuah inisiatif tahunan yang dilaksanakan bagi membantu golongan asnaf dan pelajar tahfiz membuat persiapan menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.
Bagi tahun 2026, Yayasan PEKEMA memperuntukkan lebih RM700,000 untuk program inj yang disalurkan secara berperingkat ke seluruh negara, melibatkan beberapa zon termasuk Sabah, Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Majlis pelancaran bagi Zon Tengah telah berlangsung dengan jayanya di Mydin Mall USJ hari ini, menyaksikan penyertaan lebih 500 anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz. Mereka menerima baucar membeli-belah bernilai RM200 setiap seorang bagi membolehkan mereka memilih sendiri kelengkapan Hari Raya seperti pakaian, kasut dan barangan keperluan lain — sekali gus memberi pengalaman membeli-belah yang lebih bermakna serta meningkatkan keyakinan diri menjelang Syawal.
Antara institusi yang menerima manfaat termasuk Persatuan Kebajikan Al Rayyan Malaysia (Oku Mata), Madrasah Quran Darussalam (MQDS) Banin, Persatuan Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur, anak-anak asnaf di Kampung Pendamar, Klang, anak anak asnaf di sekitar Selayang, Damansara dan juga di Shah Alam.
Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada pihak Mydin dengan kehadiran bersama barisan kepimpinan PEKEMA dalam sesi penyampaian sumbangan secara simbolik.
Yayasan PEKEMA berharap usaha murni ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak pihak untuk bersama-sama menyumbang dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam masyarakat, khususnya dalam memastikan golongan asnaf dan pelajar tahfiz tidak terpinggir daripada menikmati kemeriahan perayaan.














