Yayasan PEKEMA terus komited menyantuni golongan kurang berkemampuan menerusi Program Kasih Ramadan, sebuah inisiatif yang bertujuan meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah menjelang kedatangan bulan Ramadan.
Bagi pelaksanaan program di Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang, seramai 1,000 keluarga berpendapatan rendah sekitar Selayang telah dipilih sebagai penerima manfaat dalam program yang berlangsung di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, semalam.
Program anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer serta Jawatankuasa Penduduk Zon 10 MPS ini, turut dihadiri oleh Naib Presiden PEKEMA, YM Raja Petra Marudin Raja Nordin; Anfaal Saari, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Masyarakat Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer; serta Ahmad Zahiri Zahid Sofian, Ahli Majlis Zon 10 MPS.
Program Kasih Ramadan ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan PEKEMA yang memberi manfaat kepada 1,000 keluarga B40 melalui agihan bakul makanan. Usaha ini diharap dapat menyuntik semangat dan keyakinan kepada para ibu bapa serta penjaga dalam membuat persiapan menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan.











