CYBERJAYA, 8 Julai 2025 – Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) mengambil langkah penting dalam memperkukuh ekosistem kenderaan elektrik (EV) tempatan dengan memeterai kerjasama strategik bersama Aquateak Energy Sdn Bhd bagi menubuhkan syarikat usaha sama baharu, SenangCas Sdn Bhd.
Inisiatif ini bertujuan mempercepat pembangunan rangkaian pengecas EV di seluruh negara, sekali gus menyokong aspirasi mobiliti rendah karbon Malaysia seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon.
Dalam pada itu, Pengarah Aquateak Energy, Dato’ Tarmizi Jusoh, menekankan bahawa kerjasama ini menggabungkan kepakaran teknikal Aquateak dalam tenaga boleh diperbaharui dengan keupayaan PEKEMA memperluas pasaran.
SenangCas akan memulakan fasa pertama dengan membangunkan lebih 650 pengecas EV di lokasi strategik seluruh negara menjelang hujung 2026, termasuk di pusat bandar dan lebuh raya utama.
Projek ini juga akan menekankan penggunaan tenaga bersih, teknologi grid pintar untuk kebolehpercayaan sistem, serta pengecas ‘akses terbuka’ yang serasi dengan kebanyakan jenama EV. Terdapat juga perancangan untuk meluaskan operasi ke pasaran ASEAN pada masa hadapan.
Kerjasama ini dijangka menjadi pemangkin pembangunan infrastruktur EV yang lebih mampan, pintar dan mesra pengguna, di samping membuka peluang perniagaan baharu kepada syarikat tempatan










