PEKEMA Charity Golf 2025 – President’s Cup, Edisi Ke-11, melabuhkan tirainya selepas dua hari berlangsung di Palm Garden Golf Club, Putrajaya.
Kejohanan golf amal berprestij anjuran Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) berjaya menghimpunkan hampir 500 pemain golf amatur dari seluruh Malaysia, Sabah, Sarawak serta penyertaan antarabangsa dari Jepun, Singapura dan Vietnam.
Kejohanan ini menyaksikan detik bersejarah apabila pemain muda dari Johor, Muhammad Sharul Fauzan Ibrahim, 28, dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan skor 43 poin melalui tiga handicap mengikut System Stableford.
Beliau membawa pulang piala pusingan President’s Cup, piala iringan dan hadiah wang tunai pada Majlis Gala Dinner & Prize Giving Ceremony di Putrajaya Marriott Hotel.
Bukan sekadar pertandingan, edisi kali ini cukup bermakna kerana buat pertama kalinya dianjurkan di Semenanjung Malaysia, sekaligus mengangkat martabat golf amal ke tahap lebih tinggi.
Presiden PEKEMA, Datuk Hj Mohamed Nazari Bin Noordin, menegaskan kejohanan ini menjadi platform strategik yang menyatukan ahli perniagaan, pemimpin industri dan agensi kerajaan, selain membuktikan komitmen PEKEMA terhadap kebajikan masyarakat melalui Yayasan PEKEMA.
Malam penutup turut menyaksikan sumbangan Yayasan PEKEMA kepada 10 artis di bawah naungan Karyawan serta beberapa badan kebajikan terpilih, antaranya Jalil Hamid, Sathiya, Dino Nico, Wan Maimunah dan Amir Raja Lawak, dengan setiap penerima menerima bantuan sara hidup bernilai RM3,000.
Inilah semangat sebenar PEKEMA Charity Golf – menghubungkan sukan, keusahawanan, teknologi dan kebajikan dalam satu platform yang bermakna.






