Program Back To School 2026

Yayasan PEKEMA terus komited menyantuni golongan kurang berkemampuan menerusi Program Kembali ke Sekolah 2026, bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga menjelang sesi persekolahan baharu.
Bagi program di Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang (MPS), seramai 500 pelajar sekolah rendah dan menengah terpilih menerima manfaat melalui Program Back To School 2026 yang berlangsung di Dewan Sri Siantan, Jalan Sungai Tua.
Program ini dianjurkan oleh Yayasan PEKEMA dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Zon 10 MPS serta Kelab Sukan dan Rekreasi PEKEMA (KRESMA), sebagai manifestasi keprihatinan berterusan PEKEMA terhadap kebajikan dan pendidikan masyarakat.
Majlis penyerahan sumbangan turut disempurnakan dengan kehadiran YB Puan Anfaal binti Saari, bersama barisan kepimpinan PEKEMA, wakil agensi kerajaan, rakan strategik serta para penerima manfaat. Turut hadir, Pengarah Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Selayang, En. Ahmad Fauzi bin Ishak.
Bagi pelaksanaan program sepanjang tahun 2026, PEKEMA menyasarkan 10,000 pelajar di seluruh Semenanjung Malaysia menerima manfaat melalui sumbangan beg sekolah dan kelengkapan persekolahan yang akan disalurkan secara berperingkat.
Semoga inisiatif ini memberi semangat baharu kepada anak-anak untuk belajar dengan lebih yakin, di samping memperkukuh peranan semua pihak dalam menyokong masa depan generasi akan datang.












