
Alhamdulillah, acara Go Green Charity Run 2.0 telah berlangsung dengan jayanya pada 6 Disember 2025 yang lalu.
Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) sekali lagi meneruskan penganjuran larian amal ini bagi mempromosikan gaya hidup sihat, kesedaran alam sekitar dan solidariti komuniti. Acara yang berlangsung di Wisma Yayasan PEKEMA, Cyberjaya ini turut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam program kecergasan sambil beramal edisi kedua ini, PEKEMA menyerahkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada 10 bekas atlet negara sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. Kerjasama bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) turut memperkukuh usaha memastikan kebajikan bekas atlet terus diberi perhatian.
Selain itu, sumbangan turut disalurkan kepada Maahad Tahfiz Miftahul Ulum dan Madrasah Quran Darussalamah sebagai sebahagian komitmen sosial acara berkenaan.
Dengan sambutan positif dua tahun berturut-turut, PEKEMA yakin Go Green Charity Run akan terus menjadi acara tahunan yang memperkukuh jaringan strategik antara komuniti, kerajaan dan industri ke arah Malaysia yang lebih lestari dan inklusif.














